Owner



Dee. 18. Di sini lah tempat di mana segala penulisan dan karya aku disimpan sebagai harta karun. Di sini juga di mana tempat aku meluahkan perasaan menggunakan teknik penulisan cerpen dan puisi.

Sunday, December 25, 2016

The Unquiet Grave








Ini hanya kisah biasa. Kisah lama yang berkisarkan tentang sebuah cinta bodoh. Cinta yang tidak kesampaian. Dan juga pengorbanan. Pengorbanan kerana cinta.







Setelah selesai makan malam, terus kembar itu berlari ke dapur sambil membawa pinggan serta cawan masing-masing untuk dibasuh. Selepas itu, mereka bergegas ke bilik air untuk memberus gigi sebelum berlari ke bilik tidur mereka setelah mengucapkan selamat malam dan mengucup pipi ibu bapa mereka.

Encik dan Puan Han hanya boleh memandang sesama sendiri akibat pelik dengan perangai anak-anak teruna mereka yang tiba-tiba sahaja berubah menjadi baik. Yelah siapa tak kenal anak kembar keluarga Han. Nakal tahap petala ke-17 elektron valens. Dah masuk kali ke berapa dah mereka menukar babysitter. Dan setiap kali babysitter mereka hendak berhenti pasti alasan sama yang mereka berikan.



“Maaf lah Encik, Puan tapi saya rasa saya memang tak boleh jagakan anak Encik dan Puan. Saya rasa anak Encik dan Puan tak sesuai untuk dijaga oleh saya,”



Alasan kuno tu lah yang sentiasa digunakan. Entah apalah yang budak-budak tu buat agaknya sampai babysitter diaorang tak sanggup nak jaga diaorang. Bagi Puan Han anak-anaknya macam anak-anak orang lain juga. Lasak, hyper-active tapi dia tak pernah pulak rasa macam nak hempuk anak-anak dia dengan botol air Mr.Froggy ke apa.

Tapi nasib baiklah , babysitter yang baru ni nampak okay. Tak pernahlah pulak dia mengadu apa-apa. Budak-budak tu nampak suka dengan babysitter baru diaorang ni. Mungkin sebab babysitter yang baru ni agak muda berbanding babysitter-babysitter yang sebelum ni jadi diaorang rasa macam dibelai oleh kakak muda yang baik bukannya daripada makcik garang yang berkedut.



“Kitaorang suka kak Minhee, dia baik,” Minseok tersengih. Menunjukkan gigi depannya yang hilang dua batang.

“Betul tu,” Hoseok menggangguk laju. Tersengih comel mengikut abang kembarnya.



Minhee. Baek Minhee. Tulah nama pengasuh baru mereka. Sedar tak sedar dah lebih kurang sebulan Minhee bekerja dengan mereka tapi Minseok dan Hoseok tak pernah mengadu apa-apa pasal Minhee. Kalau nak dibandingkan dengan babysitter sebelum ni, ada sahaja fitnah yang hendak ditaburkan oleh kembar ni.

Kata pasal Minhee, mana Minhee ni? Tak sampai-sampai lagi pun.







-      -      -      -









Minseok dan Hoseok berlari-lari menaiki tangga sebelum memecut laju ke bilik tidur yang mereka kongsi bersama. Cepat-cepat mereka melompat ke atas katil mereka apabila mereka melihat Minhee sedang duduk di atas kerusi di hadapan cermin besar sambil menyisir rambutnya yang panjang.



“Sampai pun korang. Penat akak tunggu dalam ni tau,” Minhee berbicara riang tapi masih memandang cermin. Dia hanya melihat Minseok dan Hoseok melalui cermin sahaja, tiada tanda-tanda dia ingin memusingkan badannya untuk menghadap kembar itu.

“Akak nak cerita apa malam ni?” Hoseok sudah tidak sabar. Sudah menjadi kebiasan setiap hari Sabtu yang Minhee akan bekerja pada waktu malam. Maknanya Minhee harus menidurkan Minseok dan Hoseok dan Minhee dibenarkan untuk tidur di rumah itu. Pada esok pagi, Minhee harus mengejutkan kembar itu, memandikan mereka, menyediakan sarapan untuk mereka, membersihkan bilik mereka selepas itu baru Minhee boleh pulang ke rumahnya.

Dan selalunya apabila Minhee ditugaskan untuk menidurkan kembar itu, Minhee akan bercerita tentang kisah-kisah dongeng untuk kembar-kembar ini sebagai persediaan sebelum tidur.

“Cerita? Hmmmm,” Minhee kelihatan seperti berfikir.

“Disebabkan malam ni, bulan penuh. Apa kata akak ceritakan kat korang cerita seram. Nak?” Minhee menyoal, tanganya ligat menyisir rambutnya.

Mata Minseok dan Hoseok bersinar terang. Mereka tersenyum gembira sebelum mengangguk kepala mereka laju.

“Okay tapi sebelum tu, janji dengan akak yang korang takkan kasi tau parents korang tau ,” suara Minhee tiba-tiba bertukar menjadi serius.

“Kenapa?” Hoseok bertanya. Minseok disebelahnya hanya diam tetapi mata sepetnya sudah membuntang besar.

“Adegan-adegan cerita ni mungkin akan menaikan kemarahan mak ayah korang kalau diaorang tahu,” Minhee berbisik perlahan.

Minseok dan Hoseok mengangguk sahaja. Ingatkan apa tadi, cheh!

“Tutup lampu tu, bukak langsir tu, biar cahaya daripada bulan mengambang tu masuk, biar feels,” Kembar itu turutkan sahaja permintaan merepek Minhee.

Minhee mengambil nafas perlahan sebelum melepaskannya. Kembar itu hanya memandang kosong belakang Minhee. Bila akak nak mula ni, mereka merungut di dalam hati.

“Min, perasan tak baju akak tu? Pelikkan? Tak pernah-tak pernah pakai baju macam tu, tetiba je paka.i Buang tebiat lah tu,” keceluparan mulut Hoseok memang tidak dapat ditahan. Ini lah salah satu sebab mengapa penjaga-penjaga mereka yang sebelum ini berhenti kerja.

“Betul tu. Macam pelik je baju dia. Siapa yang pakai gaun tidur macam tu. Macam orang kahwin punya baju je. Dah lah hitam, takde warna menarik sikit ke?,” Minseok hanya mengiakan kata-kata adik kembarnya.

“Ehmmm,” suara deheman Minhee menyentak mereka berdua. Terus sahaja mereka mengunci mulut dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Cerita dia pasal pulau yang korang tinggal sekarang ni. Cerita ni dah lebih 100 tahun, tiada siapa yang tahu cerita yang sebenar-benarnya. Tapi yang akak akan cerita ni betul-betul terjadi,” Minhee masih lagi menyisir rambutnya tetapi dia tetap juga menyambung cerita.







-     -       -     -







Ini merupakan cerita tentang lama. Cerita tentang cinta. Cinta yang tidak kesampaian. Dan juga pengorbanan. Pengorbanan kerana cinta.





Suatu masa dahulu, ada sepasang kekasih. Kedua-duanya mempunyai paras rupa yang elok. Mereka masih lagi muda, mentah dan tidak lagi arif tentang dunia yang kejam ini. Nama mereka ialah Jongdae dan Chiah. Jongdae merupakan seorang nelayan. Nelayan yang bekerja kuat dan bersungguh-sungguh. Seorang yang tidak mengenal erti putus asa. Seorang lelaki yang sangat budiman, berbudi bahasa dan sangat setia.

Chiah pula seorang gadis yang ceria, seorang yang sentiasa tersenyum. Mata coklat cairnya bagai menarik magnet yang menarik Jongdae untuk mengenali dirinya. Apabila pertama kali Jongdae melihat Chiah, Jongdae sudah tertarik dengannya. Ini semua kerana mata coklat cair milik Chiah yang membuat Jongdae tidak keruan.

Jongdae sering melihat Chiah duduk di atas batu besar sambil membiarkan dirinya dibelai oleh angin pantai yang bertiup lembut. Mata dipejam, tangan didepa cuba untuk merasai angin yang membelai tubuhnya lembut. Senyuman manis tidak lekang daripada bibirnya. Gaun hitam yang membaluti tubuh Chiah, juga terbuai-buai disapa angin membuatkan Jongdae juga turut tersenyum melihat keindahan yang terhidang dihadapannya.

Mata mereka bertemu, kedua-duanya kaku tidak bergerak. Bagai tenggelam dalam mata masing-masing. Jongdae melemparkan senyuman, mengharapkan Chiah membalas senyumannya namun Chiah hanya tertunduk hormat, tidak membalas senyuman Jongdae tetapi Jongdae faham akan anggukan itu. Hanya Jongdae sahaja yang mengerti.

Pada mulanya Jongdae tidak mempercayai cinta pandang pertama. Kononnya itu semua karut, tidak betul hanya orang bodoh sahaja yang percayakan cinta pandang pertama. Nampaknya, Jongdae lah si bodoh itu kerana apabila dia terpandangkan mata Chiah dia tahu yang dia sudah pun jatuh cinta.

Ayah Chiah yang sedang membincang dengan beberapa nelayan di situ terus menjeling Jongdae yang sedang membetulkan jaringnya. Dengan pantas, Jongdae meneruskan pekerjaannya dengan matanya tekun tertumpu pada jaring di tangannya manakala Chiah pula pantas sahaja berpura-pura membetulkan rambut yang sedikit berserabut ditiup angin.

“Apa yang kamu lakukan?” suara ayahnya lembut tetapi tegas. Ayah Chiah merupakan orang yang paling kaya di daerah ini. Masakan dia akan membiarkan anak perempuannya bermain mata dengan nelayan sengkek.

“Tak ada apa-apa ayah,” Chia tunduk menikus memandang kakinya yang bersalut sandal biru yang terkotor sedikit. Ayah Chiah menjeling lagi Jongdae sebelum merengus kasar, menyambung kembali urusannya yang terbengkalai.

Setelah selesai mereka berdua berjalan pulang ke rumah. Jongdae yang tadinya hanya memandang jaringnya terus mengangkat kepala, melihat sahaja Chiah pergi. Dia perasan akan cara Chiah berjalan, berani bagai tiada apa yang menakutkan dalam dunia ini.

Tapi Jongdae juga perasan yang perasaannya tidak akan diterima. Kesulitan akan menimpa pasangan seperti mereka. Cinta yang tidak dipersetujui.









-     -      -     -









Minhee berhenti seketika. Dia merenung kembar itu melalui cermin. Kembar itu hanya diam. Tiada sedikit pun reaksi yang terpancar daripada wajah mereka.

“Ada beberapa bahagian dalam cerita ni yang agak menakutkan dan tak berapa sesuai untuk korang berdua,” Minhee berhenti lagi.

“Tapi kalau korang janji yang korang takkan beritahu parents korang, akak akan beritahu korang,” mata Hoseok dan Minseok seakan-akan bersinar. Tidak pernah mereka berasa teruja seperti ini. Laju sahaja mereka menggangguk.

“Good boys. Then I’ll continue.”







-     -     -     -







Apa yang Chiah boleh lakukan. Ayahnya sudah tahu dengan kecantikan yang dimiliki oleh anaknya dan apa bahaya yang boleh menanti kalau dia biarkan anaknya begitu sahaja. Jadi dia mengurung Chiah dalam sebuah penjara di mana Chiah tidak boleh keluar daripada rumah itu tanpa pengetahuan ayahnya. Penjara yang cukup sempurna, cantik dan selesa. Rumahnya.

Tapi malangnya Chiah cepat berasa bosan. Dia akan cuba untuk meloloskan diri selagi dia mampu tanpa pengetahuan ayahnya. Dia selalu berjalan ke arah barat pulau itu. Membiarkan sahaja rumput-rumput yang dibasahi embun menyapa kakinya yang hanya ditutupi sandal biru.

Dia akan terus berjalan sehingga dia ternampak susuk tubuh tegap milik Jongdae yang sedang bersandar elok di sebatang pokok yang rimbun. Muka Jongdae yang disimbahi cahaya bulan menyerlahkan lagi ketampanan Jongdae.

Perlahan-lahan dia merangkul tubuh Jongdae daripada belakang membuatkan Jongdae tersentak namun kekagetan Jongdae tidak tahan lama sebelum dia membalas pelukan Chiah, bibirnya mengukir senyuman bahagia.

“Maaflah. Saya lambat sikit,” Chiah memohon maaf tetapi Jongdae hanya tersenyum. “Takpa. Saya pun baru sampai,” Jongdae menyelit rambut hitam mengurai Chiah ke telinganya. Jongdae merenung Chiah dari atas ke bawah berulang kali. “Saya suka baju awak yang ini,” Jongdae tersenyum simpul. Chiah tersenyum malu mendengar pujian Jongdae.

Macam itulah aktiviti mereka setiap hari. Mereka akan berjumpa ditempat yang sama, pada waktu yang sama iaitu selepas seisi rumah Chiah senyap sunyi. Di bawah cahaya bulan purnama mereka bersatu hati dan jiwa.

“Saya risaukan awak,” tiba-tiba Chiah bersuara. Jongdae mengangkat kening tanda tidak faham. “ Saya risau kalau awak berlayar nanti awak takkan balik. Awak akan tinggalkan saya,” Chiah menekur memandang tangannya yang diletakkan di atas paha. Jongdae hanya tersenyum hambar. “Memang itu lumrah hidup nelayan,” Jongdae pantas meraih tangan kecil Chiah sebelum dibawa kebibirnya. “Awak jangan risau. Saya akan sentiasa bersama awak,” Chiah bersuara yakin mengundang senyuman manis terbit di bibir Jongdae. Jongdae dan Chiah tersenyum bahagia.


Tapi kebahagian mereka tidak tahan lama.







Kelakuan Chiah yang semakin hari semakin menghairankan mengundang tanda tanya di hati ayahnya, Yonggi. Yonggi amat pelik dengan perilaku Chiah yang sering masuk tidur awal pada setiap malam. Yang membimbangkan, Chiah akan tidur pula pada waktu siangnya. Kalau sekejap tidak mengapa tapi ini sangat lama. Takkan tak puas tidur lagi.

Yonggi masuk ke dalam bilik satu-satunya anak perempuannya. Dia hanya memerhati Chiah yang sedang tidur lena. Cantik. Anaknya memang cantik sebab itulah dia mahukan yang terbaik untuk Chiah. Dia tidak mahu Chiah bergaul dengan orang sebarangan.  Chiah perlu berdamping dengan orang yang setaraf dengannya.

Dia membuat keputusan untuk keluar daripada bilik Chiah dengan niat tidak mahu mengganggu tidur Chiah tetapi matanya tertancap pada sesuatu di sudut bilik itu. Di atas kerusi solek itu, tergantung gaun hitam yang Chiah pakai malam tadi. Dia menyentuh gaun itu. Tetapi yang menghairankan di bahagian kaki gaun itu basah. Bagaimana gaun itu boleh basah sedangkan semalam, semasa Chiah mengucapkan selamat malam gaun itu masih kering?







-     -      -      -







“Ayah Chiah dapat tahu?” suara Hoseok menyampuk dipertengahan cerita. “Hmmmm,” itu sahaja yang dijawab Minhee. Minseok dan Hoseok berpandangan. Kenapa dengan kak Minhee ni? Kenapa muka dia nampak takut?







-     -    -     -







“Awak tak risau yang ayah awak dapat tahu tentang hubungan kita?” Jongdae memecah kesunyian malam. Chiah yang sedang bersandar pada dada Jongdae mengangkat kepalaya, agar matanya bertemu dengan mata Jongdae. Tangannya mengusap lembut pipi Jongdae yang teras sejuk disapa angin malam.

“Saya akan buat apa sahaja, asalkan saya bersama awak. Saya akan sentiasa bersama awak,” Chiah mengucup pipi Jongdae membuatkan segala kegusaran Jongdae hilang. Hanya ada dalam fikirannya sekarang ialah Chiah, Chiah, Chiah dan Chiah. Segala-galanya Chiah.  Melihat senyuman Chiah membuat dia rasa tidak keruan.

Sayup-sayup kedengaran bunyi seperti orang yang sedang meredah semak-samun. Gerak langkah Jongdae dan Chiah serta merta terhenti. Jantung mereka mula berdegup kencang. Mereka memerhati sahaja hutan yang gelap itu. Memerhati sahaja bagaimana cahaya itu semakin menghampiri mereka. Mereka hanya kaku, tidak mampu bergerak. Menunggu sahaja cahaya itu menunjukkan bentuknya yang sebenar. Mereka akur dengan ketentuan.

“Ayah…” itu sahaja yang keluar daripada bibir pucat Chiah setelah melihat ayahnya berdiri di hadapannya bersama obor di tangan. Selepas itu, orang-orang kampung mula mengerumuni mereka juga bersama obor di tangan. Semuanya berlaku dengan begitu pantas,  dengan sekelip mata sahaja Chiah dan Jongdae telah dipisahkan. Jongdae kini telah ditolak jatuh ke tanah manakala Chiah pula telah dipegang kejap oleh Yonggi, ayahnya.

“Jongdae!” Chiah menjerit nyaring apabila Jongdae tiba-tiba sahaja diserang oleh beberapa orang lelaki yang Chiah kenali sebagai anak didik ayahnya. Chiah mula meronta-ronta minta dilepaskan. Dia harus membantu Jongdae. Dia tidak sanggup melihat Jongdae diperlakukan seperti itu. Jongdae terus dibelasah tanpa belas kasihan, Chiah hanya mampu melihat dengan linangan air mata yang deras membasahi pipi.

“Bawa lelaki tak guna ini ke tempat hukuman!” suara garau Yonggi  memberi arahan dengan kuat. Lengan Jongdae ditarik kasar supaya Jongdae berdiri di atas kakinya sendiri. Rontaan Chiah makin menjadi-jadi. Jongdae yang lemah hanya memandang Chiah dengan pandangan yang sayu membuatkan air mata yang melimpah daripada tubir mata Chiah bertambah banyak.

Ramai penduduk yang sudah berada di tempat hukuman itu. Hari ini mereka akan menyaksikan hukuman yang bakal dijalankan untuk Kim Jongdae, seorang nelayan miskin kerana telah mendampingi puteri kesayangan orang ramai, Min Chiah. Tempat tersebut bertambah bingit apabila mereka melihat Jongdae yang dibawa oleh dua orang kampung bersama Chiah yang meraung memanggil nama Jongdae.

Penduduk kampung sudah termakan dengan fitnah yang dibawa oleh Yonggi, ketua kampung mereka mengenai Jongdae yang telah menggoda puterinya Chiah. Kononnya, Jongdae telah mengamalkan ilmu hitam dan menggunakannya pada Chiah agar Chiah mengahwini Jongdae dan Jongdae boleh merebut seluruh hartanya. Orang kampung telah mempercayai kata-kata Min Yonggi bulat-bulat dan mereka setuju Jongdae dijatuhkan hukuman mati.

Jongdae dibawa duduk di atas pelantar yang tinggi. Tangannya diikat dengan tali. Bajunya yang putih telah dicemari oleh debu tanah dan darah. Dia dipaksa melutut dengan kasar supaya mukanya menghadap kepada penduduk kampung. Dia memerhati muka-muka di hadapannya. Semua memberinya pandangan yang menjijikan , seolah-olah dia hanya lah sampah yang tidak berguna.

Mata Jongdae jatuh pada satu raut wajah yang dia sayangi. Wajah itu lah yang membuat dia tidak keruan. Chiah.  Pandangan Jongdae bertemu dengan mata Chiah yang dipenuhi air mata. Chiah masih lagi menangis dan Jongdae hanya mampu melihat. Ingin sahaja dia mengesat air mata itu. Jongdae tidak betah melihat Chiah sedih, dia ingin Chiah gembira. Itu janjinya pada suatu masa dahulu tetapi sekarang dia masih tidak mampu tunaikannya.

Apabila pedang diangkat tinggi, pandangan Jongdae masih lagi bertaut dengan Chiah. Apabila mata pedang menghiris kulitnya, Chiah sudah meraung kuat, memanggil nama Jongdae berulang kali. Apabila darah pekat dan hangat mengalir membasahi baju Jongdae, Jongdae hanya tersenyum hambar, merenung wajah yang dia sayangin buat kali terakhir. Apabila pedang itu telah berjaya ‘mengalahkan’ leher Jongdae, Chiah menatap wajah Jongdae yang matanya terpejam tetapi masih ada senyuman kecil yang hidup di wajahnya. Chiah jatuh terjelopok di atas tanah, bersama kepala Jongdae yang sudah berpisah daripada lehernya.

Janji setia mereka sudah dinodai. Chiah hanya memandang badan Jongdae yang tidak bernyawa dengan pandangan yang kosong. Air matanya sudah berhenti mengalir bagaikan mayat hidup Chiah berjalan mendekati mayat Jongdae. Kepala Jongdae yang sudah tergolek di ambil dan diangkat sebelum diletakkan di atas ribanya yang sedang duduk di sisi jasad Jongdae. Darah Jongdae yang yang membasahi gaun hitamnya tidak dihiraukan. Gaun kegemaran Jongdae. Chiah mengucup bibir Jongdae buat kali terakhir sebelum dia bangun dan berjalan menuju ke rumahnya dengan tangan dipenuhi darah.







Majlis pengebumian untuk Jongdae diadakan secara ala kadar. Yang ada di situ hanyalah Chiah, Yonggi dan beberapa orang kampung untuk mengebumikan jenazah Jongdae. Apabila Jongdae selesai dikebumikan, semua orang meninggalkan tempat itu kecuali Chiah. Chiah masih setia di situ, dia berbaring di atas kubur Jongdae, memejamkan matanya, merasai yang Jongdae masih lagi bersamanya.



Hari berlalu bergitu pantas. Genaplah sebulan Jongdae meninggalkan dunia, meninggalkan Chiah, meninggalkan janji sumpah setia mereka berdua. Dan genap sebulanlah Chiah berkelakuan seperti mayat hidup. Dia masih lagi memakai gaun hitam kesukaan Jongdae dan menghabiskan masanya di kubur Jongdae. Dia akan pulang ke rumah jika dia lapar ataupun cuaca buruk yang tidak mengizinkan dia untuk bersama Jongdae, selain itu dia akan menemani Jongdae di situ.

Dengan itu kedengaranlah suara sayu yang menyanyi diselangi dengan esakan kecil yang sayup-sayup. Lagu tentang kesedihan seorang kekasih yang ditinggalkan. Lagu tentang janji yang tidak kesampaian. Kesedihan yang tidak dapat digambarkan. Kekasih itu akan terus menyanyi sehingga tiada lagi suara yang keluar, diganti dengan esakan tangis yang meninggalkan kesan yang mendalam.



Di malam bulan yang terang,
Menjadi saksi keutuhan cinta kita
Tiupan angin malam yang membelai
Menjadi saksi ikrar cinta kita


Sebulan sudah berlalu
Di mana hanya tinggal aku di sini
Kita masih lagi terpisah
Kau di tempat di mana
Mata yang celik seperti buta
Aku pula di tempat yang
Mata yang celik sudah tidak berguna



Kalau aku mampu
Ingin sahaja aku membelai tubuh kakumu
Mengucup bibir sejukmu
Membelai rambut kotormu
Mengusap pipi pucatmu
Ingin sahaja aku pergi bersama kamu
Itu sahaja yang aku impikan
Agar kita sentiasa bersama selamanya.





Begitulah yang berlaku. Kitaran itu berulang kembali sehingga pada suatu hari Chiah meninggalkan dunia untuk berjumpa dengan kekasih hati yang sering dirinduinya. Pada saat kematiannya, Chiah nampak Jongdae sedang menunggunya, berpakaian putih segak, tersenyum manis padanya. Apabila saatnya sudah sampai, dia bagai ternampak Jongdae sedang melambai mesra ke arahnya. Sebelum matanya tertutup, dia bagai ternampak bibir Jongdae yang berkata ‘Saya takkan tinggalkan awak’.

Chiah dikebumikan di sebelah pusara Jongdae seperti yang dia inginkan. Yonggi hanya memandang sayu pusara satu-satunya anak perempuannya yang dia sayang. Semasa dia melangkah pulang dia bagai terdengar sayup-sayup suara seorang lelaki menyanyi.



Di malam bulan yang terang,
Menjadi saksi keutuhan cinta kita
Tiupan angin malam yang membelai
Menjadi saksi ikrar cinta kita


Jika kau mendaratkan bibirmu dibibir sejukku
Aku bimbang nafasku akan berbau tanah yang pilu
Jika kau mendaratkan bibirmu dibibir sejukku
Aku bimbang masa kau tidak akan panjang



Malam bulan terang akan berlalu
Tetapi janji setia kita tidak akan pergi
Janji kita akan tetap utuh
Seperti kuatnya ikatan cinta yang kita bina
Jadi sediakanlah hatimu
Persiapkanlah dirimu
Sehingga maut menjemputmu
Dan kita akan bersama selamanya









-     -     -    -





Minseok dan Hoseok berpandangan sesama sendiri apabila Minhee menangis teresak-esak. Sikat ditangannya sudah jatuh ke atas lantai yang dibaluti karpet tebal. Gaun hitam yang dipakainya menari-nari ditiup angin malam dan figuranya disimbahi cahaya bulan terang.

Tangisan Minhee masih lagi tidak berhenti membuatkan kembar itu mula rasa resah. Minseok mengetapnya bibirnya sambil menyiku adik kembarnya yang sedang menggaru kepalanya yang tidak gatal.


Dengan itu Minseok dan Hoseok membuat keputusan untuk turun daripada katil secara diam-diam sebelum mereka berlari turun daripada tangga dengan pantas dan dengan segara mereka mendapatkan ibu bapa mereka yang sedang duduk di atas sofa sambil bersembang dengan seseorang.

“Omma, Appa akak Minhee menangis tak berhenti-henti. Minseok rasa baik Omma dengan Appa pergi bercakap dengan dia,” Minseok menarik tangan Puan Han agar dia bangun namun Puan Han tidak mahu berganjak.

Encik dan Puan Han hanya memandang sesama sendiri. Kelihatan sedikit risau bercampur aneh. Minseok dan Hoseok masih lagi tidak berhenti merengek.

“Siapa yang menangis,sayang?” Puan Han bertanya.

“Kak Minhee. Tadi dia ceritakan cerita seram kat kitaorang. Dah lah tak berapa seram tiba-tiba dia nangis tak berhenti-henti pulak,” Hoseok menerangkan dengan sekali nafas. Tangannya menggoncang lengan ayahnya.

“Boys, jangan bergurau boleh. Appa nak kamu berdua mintak maaf sekarang. Dan lepas tu naik bilik kamu berdua!” suara Encik Han kedengaran tegas.

Kembar itu mula menangis. Mereka menghentak-hentak kaki mereka sambil menunding jari ke arah bilik mereka.

“Betullah. Kak Minhee ada dekat atas!” Hoseok dan Minseok menjerit serentak.

“Boys, ni akak Minhee ada dekat sini. Tadi dia lambat sikit sebab ada urusan dekat rumah dia. Kan Omma dan bagitau kamu berdua sebelum ni,” suara Puan Han lembut memujuk.

Kembar itu berpusing, menghadap seseorang yang amat mereka kenali. Kak Minhee mereka sedang duduk di atas sofa dengan kaki disilangkan dan di wajahnya tertampal senyuman awkward bersama kerutan di dahi.

“Tapi kak Minhee ada dekat atas dengan kitaorang tadi!” Hoseok merengek sambil menggegam tangan kembarnya, Minseok.

Encik Han terus bergegas menuju ke bilik kembar tersebut. Sempat juga tangannya mencapai kayu golf yang diletakkan di belakang pintu dapur. Kembar itu hanya memerhati ayah mereka dengan muka yang risau.

“Boys, takde apa pun dalam bilik korang,” Encik Han bergegas turun ke bawah. Matanya mencerlung marah. Minseok dan Hoseok berpandangan sesama sendiri dengan pipi yang dibasahi air mata.

Minseok dan Hoseok hanya diam. Tidak tahu hendak menjawab apa-apa.

“Dan siapa yang tumpahkan air dekat atas karpet? Karpet dekat kerusi depan cermin tu basah,” Encik Han bertanya hairan.